Uncategorized

Siapakah Wanita Merah dari Bosnia ini?


BREZE: Pernahkah anda terfikir ada seseorang yang sangat obses pada sesuatu warna  hingga sering dipandang sebagai watak yang unik atau aneh, sekali gus menjadi buah mulut ramai?

Zorica Rebernik menjalani hayat usianya dalam warna merah dan merancang untuk terus kekal begitu, walaupun setelah nyawa bercerai dari badan.

Selepas empat dekad mengenakan pakaian berwarna garang itu dari kepala hingga ke kaki, wanita Bosnia berusia 67 tahun itu malah sudah siap menempah batu nisan khas dari material granit merah dari India, untuk diletakkan di pusara dirinya dan suaminya, Zoran, nanti.

Sewaktu mengahwini Zoran, Zorica turut menyarungkan gaun pengantin berwarna merah.

Zorica yang merupakan guru sekolah pencen, tinggal di dalam sebuah rumah yang serba merah. Di situ, dia menjalani hidup bersama Zoran dengan menikmati makanan di atas pinggan merah, minum dari gelas merah, dan tidur di atas katil yang bercadar merah.

Warna itu juga menjadi pilihan untuk rambutnya!

Bagaimana jika kediaman Zorica ini menjadi pilihan hiasan dalaman anda? - Reuters

“Ketika saya menginjak usia 18 atau 19, tiba-tiba saja saja saya mendapat lintasan naluri yang kuat untuk menyukai warna merah.

“Tidak ada edikitpun percikan warna lain dalam kediaman mahupun pada pakaian saya,” ujarnya kepada Reuters.

Tambah wanita itu, dengan memakai cermin mata dengan warna merah menyala, dia berasakan dirinya ‘diberikan kekuatan dan kuasa’.

Hmm... hendak pakai warna apa hari ini? - Reuters

Obsesi Zorica pada warna itu serta-merta menjadikannya sebagai selebriti di perkampungan Breze, berdekatan dengan Tuzla di utara Bosnia.

“Semua orang mengenali saya. Sejurus saya dilihat, mereka menawarkan kepada saya sesuatu yang berwarna merah yang pelbagai,” ujarnya, sambil menambah bahawa dia akan menolak sebarang pemberian hadiah yang bukan berwarna merah, walaupun barangan itu berharga.

Sewaktu hendak menghadiri majlis pengebumian pun, Zorica tetap memilih merah, sekali gus bertentangan dengan tradisi memakaia pakaian hitam.

Satu-satunya masalah adalah suaminya tidak pernah perasan sekiranya Zorica memakai sesuatu yang baharu: “Saya tidak boleh membezakannya. Semuanya sama.”





Source link