Artikel Terkini

Sibu tekad jadi bandar 100 peratus bebas penggunaan straw plastik



SIBU : Permintaan tinggi bagi penyedut minuman plastik di pasaran menyebabkan pihak Majlis Perbandaran Sibu (SMC) mengambil langkah segera dengan mengimplementasikan penggunaan penyedut minuman kertas sejak Januari lalu.

Jelas Pengerusi Wakil Kesihatan Awam SMC, KR Jenny Ting, setelah tujuh bulan pelaksanaannya, ternyata usaha itu memberi impak positif terhadap alam sekitar.

“Kami akan bertegas dan terus memantau penggunaan straw plastik. Ini juga bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan memastikan tahap kebersihan awam berada pada tahap terbaik,” katanya.

Dalam pada itu juga, pihaknya akan terus menyarankan masyarakat di bandar itu untuk membawa penyedut minuman sendiri bagi mengurangkan penggunaan bahan plastik tersebut.

Ujarnya lagi, tindakan yang diambil oleh pihak SMC amat wajar kerana ia turut mengambil kira bahan plastik yang amat sukar untuk dilupuskan.

Selaras dengan kawalan yang sedang dijalankan itu , katanya, larangan penggunaan itu telah dimasukkan ke dalam syarat perlesenan selari dengan peruntukan Seksyen 14S (1) 1996 terutamanya bagi setiap pengusaha kedai makan di bandar itu.

Sementara itu, bagi Penolong Penguatkuasa Persekitaran SMC, Hamzah Matsukar Abdul Ghani, pemeriksaan dari masa ke semasa sentiasa dijalankan bagi memantau trend penggunaan straw kertas di bandar tersebut.

“Sepanjang pemeriksaan yang dijalankan di kedai-kedai makan, saya mendapati terdapat banyak straw kertas yang dibuang ke dalam tong sampah.

“Ini jelas menunjukkan pemilik kedai sedar dengan larangan penggunaan straw plastik,” beritahunya.

Tambah Hamzah, penggunaan straw kertas memberi manfaat besar di mana ia boleh dikitar semula. 





Source link