Artikel Terkini

Suara kanak-kanak harus diketengahkan – Lisa Surihani



KUALA LUMPUR: Kanak-kanak adalah generasi yang bakal mencorakkan masa depan negara, sekali gus akan terkesan dengan proses perancangan oleh generasi hari ini.

Menurut Duta UNICEF Malaysia, Lisa Surihani, suara setiap anak muda adalah penting supaya segala luahan, pandangan, pendapat dan cadangan calon masa depan negara itu dapat dipertimbangkan dalam proses membuat keputusan.

“Kami menggalakkan kanak-kanak untuk bersuara, kami menggalakkan mereka menggunakan suara itu untuk meluahkan pendapat dan pandangan mereka supaya isu berhubung anak muda boleh diketengahkan.

“Kami ingin menanam dalam minda anak muda bahawa kata-kata mereka itu boleh membuat perubahan dan mengubah nasib masa depan dan ia penting untuk mereka berkongsi pendapat dan membangkitkan perbahasan untuk menggalakkan pemikiran kritikal,” katanya ketika bercakap di Forum Kanak-Kanak sempena Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019 adalah program anjuran UNICEF bersama Kementeriaan Hal Ehwal Ekonomi dan United Nations Malaysia.

Antara fokus yang ditekankan di forum tersebut termasuk isu pemanasan global, pendidikan berkualiti, kesihatan mental, mengurangkan jurang ketidaksamaan serta membanteras kemiskinan.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) Selangor, Elmus Zechary Tonduyuk Solibun, berkata kejayaan forum ini merupakan hasil kerjasama antara kanak-kanak dan dewasa.

“Apabila orang dewasa dengan kanak-kanak bekerjasama, walaupun dalam bilangan yang kecil, mereka mampu menghasilkan sesuatu yang besar seperti program ini,” katanya.

Forum ini diuruskan oleh 50 anak muda berusia antara 13 hingga 18 tahun daripada pelbagai latar belakang dari seluruh negara.

Forum ini berlangsung pada hari kedua Sidang Kemuncak SDG 2019.





Source link