Artikel Terkini

Syarikat Faraday Future, Pencabar Utama Tesla Diisytiharkan Muflis


Perlumbaan menghasilkan kenderaan elektrik merupakan perlumbaan yang hanya dimenangi oleh syarikat yang sentiasa konsisten dalam mencipta inovasi. Terdapat beberapa syarikat besar yang berminat untuk menghasilkan kenderaan elektrik secara komersil seperti Dyson dan juga Apple, tetapi mereka tidak berjaya menghasilkan kenderaan tersebut pada skala yang besar dan hanya sekadar di peringkat prototype sahaja.

Ini disebabkan kenderaan elektrik terlalu sukar untuk dikomersilkan. Banyak syarikat gergasi automotif seperti Volkswagen, Mercedes Benz dan BMW cuba membawa kenderaan ini secara komersil, tetapi hanya sejumlah kecil sahaja yang dapat dikeluarkan oleh syarikat tersebut.

Hanya satu syarikat sahaja yang benar-benar berjaya membawa kenderaan elektrik ini ke jalan raya secara besar-besaran, iaitu Tesla yang dipimpin oleh Elon Musk.

Muncul Pencabar Baru, Namun Tak Lama

Kini sebuah lagi syarikat kenderaan elektrik yang pada satu ketika dahulu pernah mencabar Tesla, namun telah diisytiharkan muflis pada tahun lepas. Syarikat ini diketuai oleh seorang bilionaire dari China yang bernama Jia Yueting.

Beliau merupakan seorang usahawan yang memiliki Syarikat LeEco, yang merupakan sebuah konglemerat di dalam industri hiburan di China. Beliau telah menubuhkan syarikat kenderaan elektrik yang diberi nama Faraday Future pada tahun 2014 di California.

Jia Yueting yang bercita cita besar di dalam semua kerja yang dilakukanya. Beliau sering mencabar syarikat terkemuka dunia seperti Apple, Netflix dan semestinya Tesla di dalam perniagaan yang mereka kuasai.

Pada permulaan penubuhan Faraday Future ini, Jia Yueting telah menggunakan duit peribadinya sebanyak $100 juta bagi membiayai projek. Beliau telah mengembangkan syarikat ini dengan membawa masuk 1,600 orang pekerja ke dalam syarikat, yang kebanyakannya merupakan bekas pekerja dalam industri automotif.

Pada tahun 2016, beliau mula mencari pelabur luar untuk mengembangkan lagi syarikat miliknya. Beliau erancang untuk membina kilang yang terbesar di Nevada bagi bersaing dengan kilang Gigafactory Tesla yang turut berada di negeri yang sama.

Di dalam acara tahunan Faraday Future, syarikat ini mula menunjukan kenderaan prototype yang bakal dihasilkan oleh mereka kepada dunia luar, untuk menarik  lebih ramai pelabur untuk melabur ke dalam syarikat ini.

Syarikat ini juga telah menambah pusat penyelidikan yang canggih bagi meyakinkan orang ramai tentang hala tuju syarikat tersebut. Oleh kerana kenderaan elerktik ini masih di dalam fasa teknologi baru, ramai yang tidak yakin untuk melabur.

Di antara usaha yang telah dilakukan oleh Jia Yueting untuk menarik minat pelabur asing untuk melabur, adalah dengan memberi janji manis. Beliau yakin bahawa Faraday Future akan berjaya di dalam industri kenderaan elektrik dan memberi pulangan yang lumayan kepada para pemegang saham.

Ramai pelabur dari China yang melabur di dalam syarikat ini, termasuklah institusi kewangan yang penting di China. Mereka percaya dengan kebolehan yang dimiliki oleh Jia Yueting, kerana sebelum ini beliau telah berjaya membawa syarikat LeEco menjadi syarikat terkenal di China.

Pada tahun 2017, nasib Jia Yueting tidak begitu bernasib baik kerana beliau telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa China kerana gagal membayar hutang kepada syarikat Ping An Securities Group.

Pada masa yang sama juga, tindakan eksekutif syarikat tersebut, Krause yang mana pernah menjadi eksekutif untuk syarikat BMW telah meninggalkan syarikat tersebut. Ramai eksekutif yang lain juga mula meninggalkan syarikat ini kerana mereka tidak percaya dengan hala tuju yang dibawa oleh Faraday Future.

Pada perjumpaan dengan pihak media tiga tahun lalu, kenderaan yang bakal dikomersial itu gagal berfungsi dengan baik dan ini telah menambah perasaan ragu–ragu terhadap kemampuan sebenar syarikat tersebut.

Walaupun terdapat krisis ketidakpercayaan terhadap pengasas syarikat, ianya tidak mengahalang syarikat luar untuk melabur ke dalam Faraday Future. Syarikat ini telah mendapat pelaburan dari syarikat gergasi hartanah dari China iaitu Evergrande yang bersedia melabur sebanyak $2 bilion, tetapi dengan syarat mereka merombak pihak pengurusan syarikat.

Jia Yueting yang  bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh Evergrande dan telah meletak jawatan dan diganti dengan Carsten Breitfeld, bekas ketua projek dari syarikat BMW yang bertanggunjawab dalam penghasilan kereta elektrik BMW i8.

Syarikat ini terpaksa mengurangkan jumlah pekerja mereka walaupun telah berjaya mendapat suntikan modal dari pelabur asing. Dengan kos yang tinggi terpaksa ditanggung oleh Faraday Future ini, mereka tidak berjaya mendapat modal  pusingan kerana belum lagi berupaya menghasilkan kenderaan secara komersil.

Kesannya, pada tahun 2019, syarikat ini telah diisytiharkan muflis di Amerika Syarikat.

Begitulah sukarnya perjalanan untuk menghasilkan kenderaan elektrik pada skala yang besar. Setakat ini, hanya Tesla sahaja yang berjaya membawa misi zero emission di dalam industri automotif. Tesla kini berjaya menduduki tempat ke-4 syarikat yang paling berharga di dalam industri automotif dunia.

Sumber Rujukan:



Source link