Artikel Terkini

Tabung Haji: Wadiah Yad Dhamanah Vs Wakalah?


Baru-baru ini, pihak Tabung Haji (TH) telah membuat satu pengumuman besar iaitu penukaran kontrak (Aqad) deposit TH daripada Wadiah Yad Dhamanah kepada Wakalah. Boleh baca lanjut mengenainya di Akaun Wakalah TH Memberi Lebih Nilai Tambah Dan Manfaat Kepada Pendeposit.

Ramai ke yang konfius dengan terma-terma Islamik yang digunapakai? Jom kita sama-sama fahamkan dan ketahui perbezaan di antara kedua-duanya.

Wadiah Yad Dhamanah Adalah Simpanan Dengan Jaminan

Wadiah Yad Dhamanah bermakna simpanan dengan jaminan. Ia
adalah kontrak yang telah lama digunapakai oleh TH.

Kontrak ini menjanjikan kepada pendeposit yang mana walaupun
simpanan mereka digunakan oleh TH untuk aktiviti pelaburan, kerugian tidak akan
ditanggung oleh pendeposit kerana ia dijamin.

Jaminan menurut Akta TH 1995 adalah daripada pihak kerajaan.

Wakalah Pula Kita Mewakilkan

Kontrak Wakalah pula bermakna kontrak Wakil. Dalam
pengumuman semalam, pendeposit selepas ini akan melantik TH sebagai wakil atau
nama panjangnya Wakalah bil Istismar iaitu Wakil untuk Pelaburan di mana TH
akan melaburkan deposit mereka dan untung dibahagikan.

Kerugian pula sama, dijamin oleh kerajaan seperti dalam Akta
TH 1995.

Kenapa Kontrak Perlu Ditukar?

Kontrak Wadiah Yad Dhamanah merupakan satu kontrak yang
mempunyai ciri-ciri pinjaman atau Qard kerana walaupun ia simpanan, TH
menggunakan atau ‘meminjam’ duit pendeposit untuk membuat pelaburan.

Dalam kaedah Fiqh segala yang mendatangkan manfaat ke atas
pinjaman adalah Riba maka dari segi kontrak, pendeposit tidak boleh dijanjikan
sebarang untung walaupun TH membuat keuntungan yang tinggi.

Kerana itu, Hibah atau maknanya Hadiah diberikan. Hibah
diberikan dengan syarat ia adalah hak mutlak TH untuk memberi dan pendeposit
tiada hak menuntut.

Kontrak baru ini pula memberi kebenaran dari sudut Shariah
untuk TH meletakkan kadar peratus atau nisbah perkongsian keuntungan dan kali
ini disebabkan pendeposit telah melantik TH sebagai wakil, pendeposit mempunyai
kuasa menuntut keuntungan hasil pelaburan TH.

Kerugian pula akan ditanggung oleh kerajaan dan deposit
pendeposit terjamin.

Akhir sekali, harus diingatkan agar deposit di TH hanya diletakkan bagi tujuan pelaburan untuk menunaikan Haji. Objektif pelaburan lain eloklah kita melabur di instrumen pelaburan lain seperti saham, unit amanah, hartanah dan sebagainya.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Komen

komen





Source link