Uncategorized

Tarian Ngajat identiti masyarakat Iban

Tarian Ngajat identiti masyarakat Iban 1



Tarian Ngajat identiti masyarakat Iban 2

Tarian Ngajat sudah sebati dalam masyarakat Iban. Bukan sahaja unik, malah keasliannya membezakan tarian ini lain daripada tarian yang lain.

Sinonim dengan lengguk tarinya, tarian Ngajat pada suatu ketika dahulu adalah menyambut pahlawan Iban pulang daripada berperang. Mereka diraikan dengan sambutan Gawai yang dipanggil Gawai Kenyalang.

Selain kepelbagaian Gawai yang ada di Sarawak, terdapat beberapa jenis Ngajat.

Dari segi lengguk tarinya dan mereka yang mempersembahkan tarian itu adalah bergantung kepada tujuan tarian itu. Sudah pastinya, setiap tarian Ngajat ini membawa maksud tertentu.

Dari segi pemakaian pula, penari akan mengenakan pakaian tradisional asli masyarakat Iban iaitu Baju Burung bagi lelaki dan Ngepan bagi wanita.

Jenis-jenis tarian Ngajat terbahagi kepada berikut:

1. Ngajat Bebunoh

Ngajat Bebunoh ditarikan dengan mengekspresikan langkah tari yang sama sebagaimana yang dilakukan ketika memburu. Tarian ini selalunya dipersembahkan oleh kaum lelaki dan ia mempunyai pergerakan yang tangkas dan berani.

2. Ngajat Lesong

Ngajat Lesong juga dipersembahkan oleh golongan lelaki. Tarian ini cukup menarik kerana ia melibatkan lesung ketika ditarikan. Sudah pasti ia memerlukan kekuatan dan kegagahan
kerana penarinya akan mengigit lesung sepanjang tarian ini ditarikan.

3. Ngajat Induk.

Induk bermaksud wanita dalam Bahasa Iban. Sudah jelas, tarian ini ditarikan oleh golongan wanita sahaja. Lengguk tari yang lembut dan halus ini menggambarkan kehidupan seharian dan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat Iban. Ngajat ini masih lagi dipersembahkan terutamanya pada majlis-majlis kebudayaan di Sarawak.

4. Ngajat Ngalu Temuai.

Ngajat ini dipersembahkan untuk mengalu-alukan temuai atau tetamu. Lazimnya, Ngajat ini ditarikan bagi menjemput kehadiran orang kenamaan, tetamu-tetamu kehormat dan sebagainya.

5. Ngajat Kuta

Ngajat Kuta ini menggabungkan penari lelaki dan wanita. Penarinya akan mempersembahkan tarian ini mengikut langkah tersendiri. Selalunya dipersembahkan ketika majlis kebudayaan dan masih lagi dipraktikkan sehingga kini.

6. Ngajat Pua Kumbu

Penggunaan Pua Kumbu (tekstil tradisi masyarakat Iban) dalam tarian ini memberi kelainan kepada Ngajat ini dan ia dipersembahkan oleh golongan wanita.

Bagi mengiringi tarian-tarian Ngajat ini, Tabuh Iban akan dimainkan. Bunyi keramatnya amat memukau dan cukup unik. 

Untuk tahu lebih lanjut, ikuti perkongsian seterusnya dalam Awani Sarawak, bersama wartawan Nickyson Nyambar dalam edisi Pulai Bergawai 1 Jun ini.





Source link