Artikel Terkini

Teknik Halang Lalat Buah Dari Rosakkan Buah Mangga Anda


Bactocera spp atau lebih dikenali sebagai lalat buah merupakan perosak utama buah-buahan yang terdapat di laman rumah anda terutamanya mangga. Lalat buah boleh membiak dengan kadar yang cepat. Kitaran hidup lalat buah adalah sekitar dua hingga tiga hari untuk telurnya menetas kemudian akan menjadi larva selama lapan hingga sepuluh hari berikutnya. Larva tersebut kemudiannya akan bertukar menjadi kepompong dan akhirnya menjadi lalat buah dewasa dalam masa sepuluh hari.

Serangan lalat buah akan tertumpu kepada buah yang hampir matang. Larva lalat buah akan memakan isi buah yang manis dan lembut dan membuat terowong lalu akan meninggalkan tahi yang kehitaman di sekitar terowong yang telah terbentuk di dalam buah. Buah yang diserang perlu segera dibuang kerana ia boleh menjadi lokasi pembiakan untuk lalat dewasa lain dan boleh menyebabkan ia merebak ke buah lain.

Untuk mengelak masalah ini dari berlaku, kawalan berkala perlu dilakukan. Cara mudah untuk mengatasi masalah ini adalah melalui pemantauan dan pemasangan perangkap. Basahkan kapas dengan menggunakan Methyl eugenol dan letakkannya di dalam bekas yang digantungkan pada pokok mangga. Ia membantu untuk menarik minat lalat buah jantan untuk masuk ke dalam bekas tersebut. Letakkan juga bahan kimia atau racun serangga di dalam balang tersebut untuk membunuh lalat buah yang singgah ke dalam balang tersebut. Periksa bekas perangkap setiap bulan untuk memastikan kapas yang digunakan sentiasa basah dan tambahkan kuantiti racun serangga di dalamnya. Sebagai perlindungan, balut buah yang berusia lapan minggu untuk menggelakkan dari lalat buah bertelur.



Source link