Artikel Terkini

Terpaksa Menjual Bijirin Sarapan Untuk Langsaikan Hutang, Ini Kisah Suka-Duka Pengasas Airbnb


Kita mesti pernah dengar tentang Airbnb bukan? Ia merupakan platform untuk menyewa bilik atau keseluruhan rumah untuk mereka yang gemar travel.

Ia memberikan pengalaman tersendiri berbanding dengan menginap di bilik hotel atau dorm. Laman ini mempunyai hampir sejuta senarai guesthouse atau bilik sewa di serata dunia.

Tetapi tahukah anda?
Pengasas-pengasas kepada laman sewaan bilik atau homestay ini terpaksa
menghadapi pelbagai ujian dan dugaan untuk memastikan perniagaan alaf baru
mereka ini berjaya.

Pada mulanya syarikat ini diasaskan oleh dua orang anak muda iaitu Brian Chesky dan Joe Gebbia. Mereka baru sahaja berpindah dari New York ke San Francisco dan bergelut untuk membayar sewa. Tambahan pula kedua-duanya masih menganggur ketika itu.

Ketika Persidangan Reka Bentuk
Perindustrian diadakan di bandar tersebut, mereka mula mendapat idea untuk
menyewakan bilik mereka kepada pengunjung yang bakal datang. Idea ini muncul
setelah mereka mendapati bilik-bilik hotel semuanya habis ditempah dan masih
ramai yang ingin mendapatkan tempat penginapan.

Jadi mereka pun membina sebuah laman
web AirBedAndBreakfast.com. Dalam laman web tersebut mereka turut memuat naik
gambar-gambar bilik mereka dengan dengan tilam udara di atas lantai. Mereka
turut berjanji akan menyediakan sarapan untuk tetamu mereka itu.

Kadar sewa yang dikenakan pula adalah
$80 seorang dan mereka berjaya menerima tempahan dari 3 orang pelanggan. Dari
sini mereka tahu yang idea mereka ini memang boleh buat duit.

Tidak lama selepas itu, Airbnb mula mendapat ahli baru merangkap pengasas bersama iaitu Nathan Blecharczyk, seorang graduan dari Universiti Harvard.

Mereka mula merancang strategi
pertama dengan melakukan pelancaran di Southwest Conference And Festival.
Tetapi sambutan yang diterima sangat mengecewakan. Mereka hanya menerima 2
tempahan sahaja. Namun mereka masih tidak berputus asa.

Mereka kemudiannya menaik taraf laman
web mereka dan melakukan pelancaran kedua. Mereka memekakkan telinga apabila
ada suara-suara yang mengatakan bisnes mereka tak akan mampu bertahan kerana
ramai orang yang takut untuk menyewakan bilik kepada orang asing kerana risiko
jenayah seperti rogol dan rompakan.

Walaupun begitu, mereka tetap
menerima sebanyak 600 tempahan bilik ketika Democratic National Convention
berlangsung. Tapi, kejayaan ini hanyalah sementara kerana bukannya setiap hari
persidangan akan diadakan. Selepas persidangan tamat, punca rezeki mereka turut
berkurangan.

Jadi mereka bertiga terpaksa menjual bijirin sarapan bagi membayar kos operasi syarikat dan meneruskan hidup. Dan terhasillah Obama O’s dan Cap’n McCains untuk jualan kempen pilihan raya.

Kredit Gambar: TechCrunch

Bijirin ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Dan keuntungan yang diperoleh ini telah digunakan untuk membayar kesemua hutang syarikat.

Mereka kemudiannya berjaya mendapatkan pelaburan sebanyak $200,000 daripada Y Combinator. Pada waktu itu mereka hanya mempu menjana pendapatan sebanyak $200 seminggu.

Kemudian mereka pun membuat keputusan untuk menggunaan duit tersebut untuk pergi ke New York iaitu pasaran terbesar mereka bagi berjumpa dengan pengguna.

Mereka kemudiannya mula menyedari bahawa gambar-gambar yang dipaparkan dilaman web mereka tidak menarik. Apa yang mereka lakukan adalah mereka mula pergi dari satu unit ke unit yang lain bagi mengambil foto terbaik untuk dimuat naik ke laman web tersebut.

Usaha mereka ini mula membuahkan hasil apabila ramai yang mula berminat untuk menyewa unit-unit yang disediakan. Daripada sekadar menyewa bilik, mereka mula menyewakan keseluruhan unit kediaman.

Pada Mac 2009, nama AirBedAndBreakfast pun ditukarkan kepada Airbnb.com.

Sikap tidak mudah berputus asa serta percaya kepada diri sendiri dan perniagaan yang mereka jalankan; telah membuatkan mereka menjadi jutawan berjaya. Syarikat mereka kini bernilai berbilion dolar.

Bayangkan kalau mereka mengalah lebih awal dari itu?

Sumber Rujukan:



Source link