Artikel Terkini

Tertarik dengan Pakej Durian, tempahan inap desa meningkat


KUALA LUMPUR: Pengusaha pelancongan di Manong, Kuala Kangsar gembira selepas rentas negeri dibenarkan kerana ia akan membantu merancakkan semula aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Komuniti Pelancongan Manong, Nordiyana Md Aini berkata, pengumuman itu juga tepat pada masanya kerana sekarang adalah musim durian di beberapa kampung di Kuala Kangsar.

“Sambutannya memang amat menggalakkan. Ramai sudah hubungi kami dan tanya inap desa, tanya berkaitan pakej durian, tanya bila boleh datang.

“Ada yang dah buat tempahan juga sebab sama-sama nak nikmati musim durian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Pengerusi Komuniti Pelancongan Manong, Nordiyana Md Aini berkata, pengumuman itu juga tepat pada masanya kerana sekarang adalah musim durian di beberapa kampung di Kuala Kangsar.

Tambahnya, setakat hari Isnin, separuh daripada 27 buah inap desa di kawasan Manong sudah ditempah dan kebanyakannya datang dari Kuala Lumpur dan Selatan Malaysia.

Dalam pada itu, Nordiyana yakin perkembangan terbaru itu mampu memberi pulangan yang baik kepada pengusaha dan kemungkinan dapat menampung kerugian selepas lebih dua bulan tidak beroperasi.

“Durian dah mula luruh minggu lepas tapi minggu ini akan lebih banyak yang luruh. Kuantitinya cukup untuk tampung dalam masa sebulan. Dalam sebulan selepas ini, memang kita boleh hidupkan semula perniagaan kita.

“Kuantiti durian yang kita ada dengan kapasiti inap desa memang sekurangnya dapat tampung semula dua bulan yang kita tidak dapat jalankan perniagaan dulu. Ditambah lagi dengan durian yang harganya pada satu masa mungkin akan meningkat,” ujarnya.

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membenarkan rentas negeri bermula 10 Jun membuatkan industri pelancongan kembali bernyawa. 

Difahamkan, ramai sudah mula bertanya berkaitan pakej pelancongan disediakan dan dijangkakan ramai akan melancong selepas hampir tiga bulan tidak dibenarkan merentas negeri.





Source link