Artikel Terkini

Thai Airways catat kerugian bersih 12 bilion baht pada 2019



BANGKOK: Thai Airways International Public Company Limited (THAI) dan subsidiarinya mencatatkan kerugian bersih 12 bilion baht (100 Baht = RM13.37) pada 2019.

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut syarikat penerbangan nasional Thailand itu mengalami kerugian bersih.

Kerugian itu meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Presiden THAI, Sumeth Damrongchaitham dalam satu kenyataan berkata THAI dan subsidiarinya mencatat perolehan sebanyak 184 bilion Baht pada 2019, menyusut 15.4 bilion baht atau 7.7 peratus.

“THAI telah terjejas akibat pelbagai faktor negatif termasuk kelembapan ekonomi global, perang perdagangan Amerika Syarikat-China, bencana alam dan peningkatan mata wang Baht dalam tempoh enam tahun,” katanya.

Sumeth berkata THAI juga membatalkan penerbangan di beberapa laluan untuk sementara waktu berikutan penutupan ruang udara Pakistan, protes di Hong Kong dan penularan COVID-19 sejak akhir 2019.

Beliau berkata THAI dan subsidiarinya membawa 24.51 juta penumpang pada 2019, peningkatan 0.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

THAI melaksanakan langkah pengurangan kos yang ketat, menyebabkan kos menyusut 5.8 peratus berbanding tahun sebelum itu, kata beliau.

Tanpa mengambil kira keputusan operasi yang negatif itu, syarikat itu melakukan beberapa penambahbaikan ke atas kawalan kos dengan jumlah perbelanjaan 196.4 bilion Baht, merosot 5.8 peratus berbanding 2018.

Sumeth berkata THAI menerima kesan akibat krisis COVID-19 sejak akhir 2019 sehingga menyebabkan operasi penerbangannya dikurangkan, sama seperti syarikat penerbangan yang lain.

“Syarikat ini telah menyediakan perancangan dan mewujudkan pelbagai langkah untuk menguruskan krisis ini di samping mengawal kesannya, dengan tumpuan kepada kawalan kos dan pengurangan kos dalam bidang bukan operasi dan keselamatan, misalnya menangguhkan pelaburan dan pengambilan pekerja, mengurangkan perbelanjaan pemerolehan dan peralatan yang tidak perlu

“Syarikat turut melaksanakan pengurangan gaji membabitkan presiden, naib presiden eksekutif dan naib presiden. Ahli lembaga pengarah THAI bersetuju untuk mengurangkan gaji mereka sehingga 50 peratus bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa Mac 2020.

“Seandainya krisis COVID-19 ini berterusan dan bertambah buruk, THAI telah menyediakan pelan dan langkah yang kukuh,” kata beliau.

— BERNAMA





Source link

Related Posts