Artikel Terkini

Tiarasa Escape Glamping ResortDEKORHOTELHOTELDEKOR – IMPIANA


Pengalaman menarik ini terhidang dalam pakej lengkap di Tiarasa Escapes yang terletak di Janda Baik. Lebih uniknya, percutian di Tiarasa Escape berkonspekan glamping di mana bilik inapnya dibina dari khemah safari dengan tatapan dekorasi gaya mewah mengikut tema tersendiri.

Tiarasa Escape merupakan milik Pengarah terkenal Puan Sri Tiara Jacquelina. Kenangan ketika kecil dan pengalaman berada di negara orang menjadi inspirasi untuk dikongsikan bersama sehingga terbinanya sebuah resort mewah dengan gaya yang tersendiri.

Untuk memastikan segala hasrat dan impian berjaya dizahirkan dengan pakej sempurna, kontraktor dan arkitek landskap dari WHZ Environmental Design Sdn. Bhd. telah dilantik. Syarikat perunding dan pembina landskap yang tidak asing lagi untuk industri landskap yang berpusat di Kuala Lumpur ini sinonim dengan pembinaan berskala besar terutamanya dalam pembinaan mampan landskap di seluruh Malaysia.

Objektif pemilik adalah untuk mengekalkan sebaik mungkin aset semula jadi yang tersedia. Oleh itu sebelum melakukan sebarang kemajuan pembangunan, perunding telah melakukan sebuah inventori di mana mendapati selain sungai utama iaitu Sungai Nerong melintasi lot resort ini, terdapat sebuah laluan mata air yang berpunca dari bawah tanah di tengah-tengah tapak.

Selain itu juga, pokok buah perlu dikekalkan untuk menjadi salah satu tarikkan tambahan. Oleh kerana lot resort ini terletak di kawasan yang sedikit bercerun, rekaan dan keseluruhan resort perlu mengikut kontur sedia ada. Kerja-kerja ground work yang melibatkan pemotongan dan penambakkan tanah hanya ditahap minima bagi mengurangkan impak persekitaran sedia ada.

Selain berdasarkan inventori sedia ada terdapat di dalam lot pembangunan resort ini, pemilik dan pereka turut melakukan kajian terhadap persekitaran tapak agar tidak menerima impak kepada pembangunan yang dimajukan di dalam resort. Antara yang dititik beratkan adalah sosio dan budaya yang tersedia, penggunaan bahan-bahan semula jadi seperti kayu dan batu, penglibatan komuniti setempat dan kajian terhadap kualiti air.

Berdasarkan dari inventori tersedia, Pereka membina sebuah resort berkonsepkan glamping yang diimpikan Puan Seri Tiara. Fokus utama adalah penyediaan landskap yang lestari. Mata air yang terdapat di tengah-tengah lot dimanfaatkan dengan dijadikan sebagai sebuah kolam dengan bentuk organik agar menyatu dengan landskap tersedia. Batu besar yang tertanam di dalam tapak tidak digugat kedudukannya dan dijadikan sebagai elemen unik kepada keseluruhan set landskap.

Terdapat 20 buah khemah mewah gaya safari dan 5 buah villa tree top lengkap dengan penghawa dingin, bilik mandian tub dan tandas dibina dengan ciri terbuka yang membuatkan gaya bilik air ini lebih menarik. 20 biji khemah mewah gaya safari diinspirasikan melalui era pengembaraan White Rajah yang merupakan salah seorang pemerintah British di Sarawak. Selain itu juga, aksesori etnik Sarawak dipadukan menjadi perincian bagi keseluruhan dekorasi khemah penginapan.

Bagi 5 buah villa tree top pula, ia memaparkan konsep dekorasi dalaman yang menjadi impian pemilik seusia kanak-kanak. Setiap villa di lengkapi anjung sebagai ruang santai memberi peluang kepada pengunjung menikmati kesegaran alam yang tersedia. Konsep utama dekorasi rumah pokok ini adalah Boho Chic dan gaya Coachella.

Bagi mempelbagaikan lagi aktiviti di Tiarasa Escapes, pemilik turut menyediakan restoran diberi nama Rasa in the Rainforest yang sedia menyediakan hidangan di waktu pagi, tengah hari dan malam. Memberi pilihan, pengujung turut boleh menikmati hidangan di The Red Dragonfly Poolside Cafe.

Antara aktiviti lain yang menarik turut ditawarkan di Tiarasa Escapes adalah Jungle walk, bird watching, moonlight cinemas, Daily Lighting Of The Magical Bonfire Ceremony, Riverside picnic dan pelbagai lagi. Selaian menjadi penginapan gaya glamping, Tiarasa Escapes turut menerima tempahan untuk sebarang majlis keraian atau perkahwinan dan team building.

Berdasar kepada keseluruhan tatapan yang dizahirkan pereka dan inspirasi diberi pemilik menjadikan resort gaya glamping ini bukan sahaja menjadi ikon dan membangunkan industri pelancongan Malaysia malah industri landskap sendiri. Melalui kriteria perancangan dan pembangunan yang telah dilakukan, Tiarasa Escape dinobatkan sebagai Project Of The Year, Malaysia Landscape Architecture Award 2018 oleh penal juri yang telah dilantik oleh Institut Landskap Malaysia (ILAM) Pada malam gala bulan April yang lalu.



Source link