Uncategorized

TM komited selesaikan isu-isu Streamyx



KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) berkata ia telah bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan komited sepenuhnya untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh pelanggan Streamyx.

“Kami akan mengemukakan cadangan dalam tempoh terdekat dan akan membuat pengumuman selanjutnya,” ia berkata dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Sementara itu, TM akan terus menerokai pelbagai teknologi yang sesuai termasuk mengoptimumkan mekanisme industri sedia ada bagi menyampaikan pengalaman jalur lebar yang lebih baik ke seluruh negara.

Rabu lalu, menurut Gobind, TM telah diminta untuk menyediakan laporan penyelesaian isu-isu berkaitan Streamyx untuk kementeriannya.

Menteri itu dalam satu kenyataan berkata, beliau yakin pengurusan baharu TM yang diketuai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin akan dapat mencari penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi oleh Streamyx.

Menurutnya, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan TM mengenai isu-isu berkenaan dan beberapa cadangan penyelesaian sudah pun dikemukakan.

“Saya rasa keputusan muktamad telah pun dibuat dalam hal ini dan TM wajar membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat, serta mengumumkan, strategi dan langkah-langkah yang akan diambil untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan,” katanya.

Gobind mengeluarkan kenyataan itu berikutan kunjungan hormat daripada Pengerusi TM Rosli Man serta Noor Kamarul Anuar yang dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada 13 Jun lepas dan Ketua Pegawai Operasi TM Imri Mokhtar di pejabat beliau pada hari Selasa.

— BERNAMA





Source link

Related Posts