Uncategorized

Trend #DONEMEMBAWANG, kanser dalam kemasyarakatan



MEDIA sosial telah banyak menukar gaya hidup kita. Bukan sahaja dari segi pilihan aktiviti harian, malahan ia telah berjaya menukar pemilihan makanan dan juga cara pergaulan.

Suatu yang pasti, sudah berkali-kali media sosial berjaya mewujudkan ‘trend’ semasa, di mana warga internet seperti dipanggil-panggil untuk mencuba.

Sekiranya beberapa tahun dahulu, perbuatan menangkap gambar makanan diambil kira sebagai satu perbuatan yang pelik, sekarang kita dapat lihat pelbagai aksi yang dicuba oleh individu-individu untuk mendapatkan sudut pandangan makanan yang terbaik.

Tidak terkecuali, ada juga warga internet yang terikut-ikut cabaran internet yang merbahaya seperti menangkap gambar di penjuru bangunan yang tinggi tanpa memikirkan perihal keselamatan, pengambilan lada pedas seperti ‘Carolina Reaper’ dalam kuantiti yang banyak, makan ‘aiskrim berasap’ yang mengandungi cecair nitrogen tanpa seliaan sewajarnya dan pelbagai lagi.

Jika contoh-contoh yang diberikan sebentar tadi menggambarkan impak penularan terhadap perbuatan fizikal dan pemilihan makanan, buat penulisan ini saya ingin menekankan impak penularan ‘trend’ #donemembawang terhadap aspek pergaulan dan pemikiran masyarakat kita.

Tidak dinafikan, perasaan mengikuti sesuatu ‘trend’ atau perbuatan semasa amatlah memuaskan.

Ia memberi kita satu jaminan bahawa kita tidak ketinggalan zaman dan tidak tergolong dalam kumpulan ‘lagard’ iaitu satu istilah yang digunapakai oleh para akademik untuk mengkategorikan individu-individu yang berada di fasa akhir dalam tahap mengadaptasi sesuatu pembanggunan atau perkara.

Saya berikan satu contoh, minggu ini sahaja sudah berapa ramai di kalangan kita yang telah menggunakan aplikasi penukaran gambar wajah yang memberi efek penuaan walaupun mengetahui bahawa dengan menggunakan aplikasi tersebut, pengguna harus bersetuju untuk berkongsi data peribadi dengan pihak pembina aplikasi yang mempunyai latar belakang syarikat yang samar.

Hal ini menunjukkan bahawa, demi menjadi sebahagian daripada golongan yang mengikuti trend semasa, rata-rata sanggup memejam mata terhadap kebarangkalian data peribadi mereka dieksploitasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Namun begitu, sejujurnya perihal ini tidaklah begitu berat bagi saya kerana seperti penularan ‘trend-trend’ yang lain, saya kira ia akan berakhir dalam masa yang singkat.

Hal ini demikian kerana, secara lazimnya, jangka hidup sesuatu ‘trend’ kebiasaannya tidak lama.

Apa yang benar-benar merunsingkan saya adalah penularan aktiviti ‘membawang’, kerana tidak seperti ‘trend-trend’ lain, ‘trend’ membawang ini telah lama berlaku di kalangan rakyat malahan melebihi tempoh satu tahun.

Di sini saya ingin menerangkan serba sedikit akan trend #donemembawang.

Tanpa kita sedar, trend membawang sebenarnya memberikan gambaran yang jelas akan aktiviti dan budaya rakyat kita.

Perkataan membawang ini merujuk kepada perbuatan zaman dahulu, di mana ia dikaitkan dengan aktiviti gotong-royong dalam merewang atau memasak, yang dilakukan secara beramai-ramai oleh orang kampung.

Berlainan dengan masa sekarang, zaman dahulu tidak mempunyai teknologi untuk berkongsi cerita mahupun bertukar-tukar berita.

Oleh itu, aktiviti-aktiviti seperti memasak ini di manfaatkan dengan aktiviti bertanya khabar serta penukaran berita antara satu sama lain dikalangan penduduk kampung.

Ironinya, dengan wujudnya perangai sesetengah manusia yang gemarkan perhatian serta adanya fitrah manusia yang lazimnya mempunyai perasaan ingin mengetahui sesuatu perkara, wujudlah individu-individu yang tiada etika dan adab yang suka menokok tambah sebagai penyedap rasa sesuatu cerita.

Hal ini secara tidak langsung menjadikan ramai individu yang telah menjadi mangsa fitnah serta aib mereka tersebar dari hasil aktiviti membawang yang dijalankan.

Saya tidak nafikan, apabila ‘trend’ #donemembawang ini menular, saya sendiri merasakan ia sebagai satu perkara yang comel dan kelakar.

Saya berfikir bahawa ianya hanyalah satu aktiviti sosial ringan, di mana ia menggalakkan kita berinteraksi antara satu sama lain.

Jika beberapa tahun lepas, dengan didikan agama yang kemas diberikan oleh pihak sekolah, aktiviti mengumpat merupakan satu perkara yang memalukan buat saya.

Saya kira ramai individu di luar sana yang cuba mengelak dari digelarkan sebagai pengumpat. Namun begitu, dengan kuasa internet, perbuatan mengumpat bukan sahaja diangkat darjatnya, malahan pula menjadi satu kebanggaan yang diuar-uarkan.

Di sini saya ingin menegaskan bahawa, saya tidak menolak pendapat sesetengah yang mengatakan perbuatan membawang adalah perbuatan yang tidak bersalah.

Hal ini barangkali sedemikian kerana perkataan membawang ini juga mungkin dianggap sebagai satu lambang perbualan yang biasa dilakukan antara satu kumpulan.

Namun begitu, rata-rata jika anda lakukan pencarian #donemembawang di media sosial, ia selalu digunapakai oleh orang ramai sejurus satu sindiran atau pengkongsian sesuatu perkara yang sensitif dilakukan.

Malahan, kejadian sebegini rupa boleh dilihat di pelbagai akaun popular media sosial dalam kalangan rakyat.

Perbuatan mengumpat kini bukan lagi dibuat secara sembunyi, disebabkan pengnormalisasikan perbuatan mengumpat sebagai satu perkara yang comel seperti membawang, kini ia dibuat secara terbuka tanpa perasaan segan silu.

Mudah kata, asalkan berperisaikan topeng #donemembawang, anda dilihat sebagai pengikut ‘trend’ semasa, bukannya pendosa.

Sejujurnya saya sendiri terkhilaf mengikuti ‘trend’ ini dan hanya terpanggil untuk berhenti apabila seorang rakan telah membuka aib seorang kenalan secara terbuka.

Ia dilakukan dengan cara yang halus, dan didindingkan dengan perkataan ‘aku saja membawang petang-petang ni’ sedangkan aib mangsa telah menjadi tatapan ramai.

Saya kira kenalan merupakan individu yang baik, jarang mengganggu orang, namun disebabkan rakan ini telah menyatakan sesuatu perkara yang amat jelas (walaupun pada mulanya tidak diperasan oleh orang ramai), aib kenalan ini sudah tersebar.

Hati saya bagaikan ditambah satu kilo bebanan batu, apabila maruah keluarga kenalan diperkotak-katikkan.

Hal ini terus membuat saya berfikir akan impak #donemembawang terhadap maruah seseorang.

Ia mungkin dilihat sebagai satu perkara yang biasa, namun begitu, ia sebenarnya mempunyai kuasa untuk menghancurkan imej, memutuskan silaraturrahim dan menghidupkan perasaan tidak suka serta benci terhadap mangsa.

Secara tidak langsung, ‘trend’ #donemembawang ini sebenarnya telah meragut pelbagai kebaikan daripada kita. Antaranya masa, kebaikan dan kasih sayang.

Masa yang bernilai telah disalahguna dengan aktiviti mengumpat.

Jika masa bersosial bersama rakan dan kenalan seharusnya dimanfaatkan dengan perbincangan isu semasa, bertanya khabar serta mewujudkan keakraban antara satu sama lain, kini masa itu telah banyak digunakan dalam membuka aib dan memfitnah orang.

Dari segi aspek kebaikan pula, ‘trend’ membawang ini telah membuang prasangka baik antara satu sama lain.

Rata-rata aktiviti ini lebih menjerumus kepada perbuatan bergosip yang melibatkan aib atau perihal kehidupan seseorang sebagai bahan bualan, sekali gus menjadikan kita sebagai manusia yang lebih gemar memperbualkan perihal buruk orang.

Manakala bagi aspek perasaan kasih sayang pula, saya kira perasaan ini berjaya dihapuskan dengan adanya ‘trend’ sebegini rupa.

Sebagai manusia yang diberi sifat kemanusian untuk melindungi antara satu sama lain, ‘trend’ ini sebaliknya menggalakkan penghancuran imej serta menanam perasaan benci dan tidak suka terhadap mangsa.

Malah, kebanyakan kata yang dikeluarkan dilakukan tanpa mengira air muka mangsa. Namun apakan daya, perbuatan ini semuanya dihalalkan melalui perkataan #donemembawang.

Nampak ringan, tapi berat. Trend #donemembawang ini merupakan perisai yang kuat bagi pembuli dan pengumpat di luar sana.

Ia merupakan satu tembok yang melindungi mereka daripada dipandang sebagai pendosa.

Buat individu yang masih tidak dapat melihat kata-kata sebagai senjata yang berpotensi melakukan pembunuhan, ketahuilah berapa ramai di luar sana yang telah mengambil keputusan untuk membunuh diri akibat penderaan minda.

Jika penderaan fizikal datangnya daripada perbuatan, ketahuilah bahawa penderaan minda datangnya daripada kata-kata.


*Afiqah Aisyah Saiful Bahar merupakan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkelulusan Sarjana Perang Saraf Media dan Informasi.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





Source link