Artikel Terkini

UMW laksana pendekatan serampang dua mata kurangkan kesan COVID-19



KUALA LUMPUR: UMW Holdings Bhd melaksanakan pendekatan serampang dua mata — memastikan sokongan perolehan mencukupi dan memulakan langkah pengurangan kos serta pengoptimuman aktiviti — untuk mengurangkan kesan COVID-19 ke atas operasinya.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azmin Che Yusoff berkata sokongan perolehan syarikat akan didorong tiga segmen perniagaan teras, iaitu automotif; peralatan; serta pembuatan dan kejuruteraan.

Segmen automotif menjalankan kempen jualan dan selepas jualan secara inovatif melalui platform dalam talian, ditambah dengan pakej pembiayaan yang menarik.

Bagi segmen pembuatan dan kejuruteraan, UMW memanfaatkan kelulusan yang diberikan baru-baru ini untuk operasi 24 jam di kemudahannya bagi meningkatkan pengeluaran kelongsong kipas untuk Rolls-Royce, di samping mengekalkan jualan eksport penyerap kejutan untuk KYB-UMW Malaysia Sdn Bhd.

Menerusi segmen peralatan pula, UMW bekerjasama rapat dengan prinsipalnya menerusi lanjutan tempoh pakej promosi untuk menyokong pelanggannya yang terjejas akibat pandemik itu.

“Dalam konteks persekitaran perniagaan mencabar yang belum pernah terjadi sebelum ini, UMW telah mengambil langkah untuk mengurangkan kesan buruk susulan unjuran suram perniagaan dan penggunaan swasta yang lemah.

“Syarikat juga giat meneliti inisiatif peningkatan perolehan, melonjakkan jualan di semua sektor, mengembangkan kedudukan di peringkat antarabangsa secara strategik, selain memperkukuh kecekapan operasi dan keberuntungan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata syarikat giat meneruskan inisiatif pengekangan dan pengoptimuman kos seperti menyemak semula, mengurangkan dan mengoptimumkan perbelanjaan operasi, serta pada masa sama menangguhkan perbelanjaan operasi dan modal yang tidak penting.

UMW juga menambah baik pengurusan inventori dan memaksimumkan kapasiti pengeluaran, selain memastikan jalinan berterusan dengan pelanggan, prinsipal dan pengeluar peralatan tulen.

“Syarikat ini, yang disokong oleh kedudukan kewangan yang kukuh, bukan sahaja menekankan pengurusan kawalan aliran tunai yang kukuh, malah meningkatkan dan menggunakan semula sumber sedia ada agar kekal berdaya tahan.

“Kami percaya semua inisiatif ini, ditambah dengan langkah rangsangan oleh kerajaan untuk menampan impak daripada wabak itu, akan membolehkan UMW terus memberikan nilai pemegang saham yang mampan dan meningkatkan keberuntungan,” katanya.

Pada 2019, keuntungan bersih UMW meningkat 32 peratus kepada RM454.44 juta manakala perolehan sebanyak RM11.74 bilion.

“Pada tahun itu, buat kali pertama dalam sejarah UMW, kami menguasai lebih daripada separuh bahagian pasaran dalam industri automotif Malaysia,” kata Azmin.

Toyota dan Perodua secara terkumpul menguasai 51.4 peratus bahagian pasaran.

2019 juga menyaksikan Perodua mencatatkan penjualan tertinggi sepanjang sejarahnya selama 26 tahun.

Segmen pembuatan dan kejuruteraan UMW merekodkan perolehan melebihi RM1 bilion untuk kali pertama, disokong oleh perniagaan aeroangkasa, yang mencatatkan keuntungan pertamanya.

Ia juga menjan wang daripada asetnya menerusi penjualan tanah perindustrian di Shah Alam.

Sementara itu, keuntungan bersih UMW bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2020 susut kepada RM44.31 juta daripada RM86.5 juta pada suku yang sama setahun lepas.

Perolehan berkurangan kepada RM2.11 bilion daripada RM2.77 bilion bagi tempoh yang sama berikutan gangguan yang timbul akibat wabak COVID-19 yang menyebabkan jualan dalam perniagaan automotif dan peralatan menurun.

— BERNAMA





Source link

Related Posts