Artikel Terkini

Virus korona bukan penghalang, ruang balkoni jadi gelanggang



ELISHA NOCHOMOVITZ, 32; seorang perkerja restoran di Toulouse, Perancis membuktikan apabila hajat untuk berlatih maraton terhalang; ruang balkoni pun memadai dibuat gelanggang.

Sama seperti banyak negara seluruh dunia, Perancis mengenakan larangan keluar rumah sekurang-kurangnya selama dua minggu sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Sejak Januari, Nochomovitz gigih berlatih bersedia mengambil bahagian berlari maraton Barcelona (Mar 15) dan maraton Paris (April 5).

Pembatalan kedua-duanya akibat pandemik COVID-19 tidak meluntur semangatnya untuk meneruskan beriadah.

Perancis mengenakan larangan keluar rumah terhad bermula 16 Mac selama 15 hari, lalu menyebabkan Nochomovitz hilang pekerjaan untuk durasi dua minggu.

Walaupun masih dibenarkan beriadah di tempat lapang, Nochomovitz memilih tidak keluar rumah kerana mahu mengelakkan terdedah kepada virus korona dan jatuh sakit akibat COVID-19.

Nochomovitz memilih berlatih di balkoni pangsapurinya dan mengambil keputusan berlari maraton penuh di ruang yang terhad itu.

Berlari selama 6 jam 48 minit, Nochomovitz yang mempunyai rekod berlari 36 maraton sebelum ini, berjaya menghabiskan larian sejauh 42.2km (26.2 batu) hanya berulang-alik di gelanggang berukuran 7 meter (23 kaki).

Kadang kala terasa mual, Nochomovitz hilang kiraan berapa pusingan yang dilakukannya dan hanya bergantung kepada alat pengukur jarak (pedometer) untuk menjejak setiap langkahnya.

Pada mulanya, Nochomovitz ada merasa sedikit risau sekiranya jiran-jiran akan terganggu dengan bunyi bising dari hentakan kakinya, namun sambutan sorakan mereka memberinya semangat untuk menghabiskan larian maraton unik ini.

Pada permulaan minggu keempat bulan Mac, terdapat 14,459 kes COVID-19 yang menyebabkan 562 kematian di Perancis.





Source link