Artikel Terkini

Wajarkah kanak-kanak diberitahu tentang wabak COVID-19?



DINAMIK kehidupan seharian kita sedang melalui perubahan yang drastik, sesuai dengan istilah yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu ‘normal baharu’. 

Menyesuaikan diri dengan transisi aktiviti persekolahan dan pekerjaan di rumah mungkin mencabar buat ramai, namun dalam situasi sebegini, kanak-kanak juga turut terikut dengan transisi ini ekoran perubahan semasa.

Ibu bapa perlu menanam sifat empati dan mengambil perhatian khusus soal keadaan mental dan emosi anak-anak dengan mengamalkan komunikasi yang berkesan.

1) Bagaimana hendak memastikan anak-anak berasa selamat?

Kesihatan mental setiap manusia perlu diuruskan dengan baik bagi mengelakkan tekanan atau berasa ‘terpenjara’ di saat-saat sebegini.

Khususnya kepada kanak-kanak, ibu bapa harus menggunakan pendekatan yang berkesan demi memastikan anak-anak memahami akan situasi yang melanda dunia ketika ini.

Ibu bapa perlu diingatkan bahawa anak-kanak turut tidak terkecuali terkesan dengan penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Dengan itu, ibu bapa hendaklah berkomunikasi dengan kerap dan mengetahui situasi mental dan emosi semasa.

Fakta diperlukan supaya otak boleh merancang. Dengan itu, ibu bapa juga perlulah bersikap jujur dan memberikan pendedahan kepada mereka tentang situasi wabak COVID-19 yang sedang melanda ketika ini.

Selain itu, langkah penjagaan harian hendaklah diamalkan untuk kekal sihat dan bebas dari wabak ini.

Mereka perlu ketahui tentang perihal semasa yang berlaku di luar rumah dan memahami kenapa langkah-langkah penjagaan itu perlu diamalkan setiap hari.

‘Norma baharu’ perlu dipraktikkan oleh semua, termasuklah kanak-kanak.

2) Tunjukkan contoh yang baik

Berada di rumah sepanjang masa, ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

Ibu bapa perlu diingatkan, berbeza dengan golongan dewasa, kanak-kanak mudah terpengaruh dengan amalan yang dilakukan oleh orang terdekat. Mereka masih dalam proses mempelajari baik dan buruk tentang sesuatu perkara.

Lantaran itu, ibu bapa hendaklah mengamalkan langkah-langkah penjagaan harian seperti mencuci tangan dengan sabun atau memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah.

Amalan ini secara automatik akan diikuti anak-anak.

3) Membina mental yang kental

Pandemik ini semestinya membawa kepada pelbagai stres dan kemarahan oleh golongan dewasa.

Kemungkinan terdapat gangguan-gangguan kecil yang menjejaskan proses pekerjaan di rumah seperti sambungan WiFi yang selalu terputus. 

Namun ini bukan bermakna sifat kemarahan itu wajar dilepaskan kepada anak-anak.

Perasaan-perasaan negatif itu perlu diatasi secara diplomatik agar mental dan emosi kekal stabil dan tidak terganggu sepanjang hari. 

Kanak-kanak lazimnya tidak mempunyai mekanisme untuk mengatasi perasaan trauma yang dirasai. Dengan itu, bimbingan ibu bapa sangatlah penting agar perasaan ini tidak berlarutan dan mereka bebas daripada ketakutan atau keresahan.

4) Bantu mereka mengatasi tekanan dan kebosanan di rumah

Sesi pembelajaran dalam talian juga boleh menyebabkan timbulnya tekanan kepada kanak-kanak.

Dalam menyesuaikan diri dengan transisi proses pembelajaran di rumah, menyiapkan tugasan sekolah yang bertimbun juga boleh menghasilkan tekanan pada emosi. 

Dengan melakukan aktiviti yang memberikan ketenangan sama ada menerusi senaman pernafasan, mendengar muzik, menonton televisyen, memasak atau berkebun dapat mengurangkan tekanan serta berasa lebih tenang.

Bagi mengatasi kebosanan di rumah, ibu bapa boleh menyediakan senarai aktiviti harian seperti mempelajari seni kraf atau menghabiskan senaskhah buku dalam jangka masa yang tertentu.

Ini dapat mengekalkan produktiviti anak-anak di rumah sambil mengurangkan rasa tertekan dengan tugasan sekolah.





Source link