Uncategorized

Wakil Malaysia muncul naib juara di pertandingan Gentlemen of the World, menang anugerah Best Body



KUALA LUMPUR: Wakil Malaysia, Zam Osman atau Muhammad Nizamuddin Osman mengharumkan nama negara apabila meraih naib juara pada edisi pertama pertandingan Gentlemen of the World yang diadakan di Manado, Indonesia pada penghujung bulan lalu.

Malam kemuncak pertandingan itu menyaksikan sebanyak 24 negara bertanding antaranya Australia, Botswana, India, Filipina, Sepanyol, Thailand dan Vietnam.

Dalam pertandingan itu, peserta dinilai berdasarkan beberapa peringkat seperti pengucapan awam, Top Model serta penilaian dalaman bersama juri yang mana turut menguji aspek fizikal, ketepatan masa, tanggungjawab dalam kumpulan, penglibatan diri dalam aktiviti, kemahiran komunikasi, bakat dan kesenian para peserta.

Seperti kebanyakan pertandingan ratu cantik atau pencarian duta, Gentlemen of the World yang diasaskan oleh Lhi Toding Bua iaitu seorang pendidik di Indonesia, bermatlamat untuk memberi fokus dalam mengetengahkan belia sebagai duta dalam aspek pendidikan, kebudayaan termasuklah mempromosikan pelancongan sesebuah negara di peringkat antarabangsa.

Pada pertandingan itu, Zam Osman turut rangkul anugerah ‘Best Body’.

“Saya bersyukur kepada Allah S.W.T atas rezeki yang diberikan dan cukup bersyukur kerana dapat mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya dalam satu kenyataan

Tambahnya lagi, beliau bertekad untuk melibatkan diri secara aktif dalam kempen kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak dan akan bekerjasama dengan organisasi pengurusannya, Bachelor of Malaysia.

Keputusan keseluruhan menyaksikan peserta Filipina, Mark Avilla merangkul juara, diikuti Malaysia sebagai naib juara dan Shah Amir dari Singapura di tempat ketiga. Masing-masih membawa pulang trofi dan selempang selain menjadi duta kepada jenama itu.





Source link