Artikel Terkini

Wanita OKU tabah bangunkan rumah bimbingan, beri sinar kepada rakan senasib



“YANG bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang”

Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan dengan nasib Nur Azlina Zakaria yang kini menjadi seorang usahawan wanita kurang upaya yang berjaya.

Kisahnya bermula apabila Nur Azlina mengalami tragedi kemalangan pada Mei 2006, yang menyebabkan dia lumpuh separuh badan selama tujuh tahun.

“Ketika saya menjadi seorang kurang upaya, kehidupan saya berubah. Saya mengalami beberapa episod jatuh bangun. Tetapi akhirnya saya bangkit, dan mampu berjalan kembali,” kata Nur Azlina.

Sambil menjalani rawatan rehabilitasi, Nur Azlina kemudian dilantik sebagai Ketua Pasukan Sokongan Rehabilitasi Hospital Sungai Buloh.

Pada 2016, Nur Azlina bertemu jodoh dengan jejaka pilihan hati, Nazrin Md Zin yang juga pesakit saraf tunjang (tetraplegia) yang memerlukan penjagaan sepenuhnya.

“Masa itu, saya diarahkan melawat (bakal) suami kerana ingin tahu keadaan dia. Ketika itu saya datang rumah dia buat pertama kali, dia  memang dalam keadaan terlantar.

“Saya yang ambil keputusan untuk melamarnya setelah hampir tiga minggu membantu menguruskan dia.

“Saya jatuh cinta dengan semangat dia, dan dia seorang yang begitu tenang, reda, dan sabar,” kata Nur Azlina.

Pada masa sama, Nur Azlina yang berminat dalam perniagaan telah mula menjual produk sambal bagi menampung kehidupannya.

Namun, selepas berkahwin, Nur Azlina terpaksa menghentikan perniagaan sambal untuk memberi penjagaan penuh kepada suami.

“Pada permulaannya suami saya memang kena jaga 100 peratus. Saya kena dukung, kena uruskan dia kerana dia duduk pun tidak boleh.

“Alhamduillah, usaha rawatan dan fisioterapi, suami akhirnya pulih dan mampu hidup berdikari.

“Ketika proses pemulihan suami, kami melihat ramai lagi pesakit yang perlu penjagaan khusus, perlukan sokongan, semangat dan kasih sayang daripada mungkin orang yang lebih berpengalaman.

“Oleh itu, kami terpanggil untuk membantu, dan kami membuat keputusan dan memilih untuk membina sebuah rumah iaitu, Rumah Penjagaan OKU Nur Aafiyah di Sungai Buloh,” katanya.

Sejak dibuka pada 2018, rumah penjagaan tersebut sudah menyaksikan hampir 10 pesakit yang menggunakan perkhidamatan rumah penjagaan tersebut.

“Ini merupakan tempat mereka bersosial, berkumpul dan menjalani pelbagai aktiviti termasuk mengaji.

“Setiap kali mereka menunjukkan perubahan positif, saya nangis. Contohnya seperti suami saya yang dahulu hanya terlantar kini boleh memandu kenderaan.

“Usaha membangunkan rumah penjagaan ini memerikan satu kepuasan dan saya berdoa untuk diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan supaya ramai lagi yang memerluakan sokongan dan tempat seperti ini,” katanya.





Source link