Artikel Terkini

Implikasi Suami Isteri Membeli Rumah Bersama


Setiap pasangan yang berkahwin pasti mempunyai impian untuk memiliki sebuah kediaman sendiri berbanding terus menyewa rumah orang.

Tujuan untuk memiliki rumah sendiri itu bagus tetapi dengan harga rumah hari ini yang melambung tinggi dan keadaan kewangan yang tidak kukuh ramai pasangan yang berkahwin terutamanya mengambil keputusan membeli rumah bersama.

Membuat permohonan pembelian secara joint loan dilakukan supaya peluang untuk bank meluluskan pinjaman perumahan menjadi lebih tinggi.

Tahukah anda risiko yang diundang apabila kita membuat pembelian rumah secara bersama pasangan ini?

Risiko Beli Rumah Bersama Pasangan, Ini Yang Berlaku Apabila Salah Seorang Meninggal Dunia.

Kebiasaannya, apabila pasangan membeli rumah secara joint loan, mereka juga akan mengambil takaful secara bersama juga Mortgage Reduction Term Takaful (MRTT).

Jadi dalam Sell and Purchase (S&P) agreement ada dua nama (suami dan isteri) dan perlindungan takaful pun secara Bersama; 50%, suami dan 50% isteri.

Kita andaikan harga rumah tersebut RM500,000 apabila perlindungan takaful dibahagi 2, maka :

  • 50% Suami (RM250,000)
  • 50% Isteri (RM250,000)

Apa terjadi kepada rumah tersebut jika salah seorang meninggal dunia?

Jika suami meninggal dunia, 50% bahagian suami sudah tidak perlu dibiayai, kerana takaful sudah bayarkan.

Manakala isteri masih perlu meneruskan baki hutang selebihnya.

Masalah yang timbul adalah, 50% pemilikan suami terhadap rumah tersebut menjadi harta pusakanya. Jika si suami masih mempunyai ayah atau mak, mereka berhak mendapat sebahagian daripada pemilikan tersebut (hak faraid). 

Anda mungkin fikir, takkan mertua sampai hati nak tuntut bahagian mereka dan biarkan menantu terpaksa berhempas pulas membayar baki hutang rumah.

Berdasarkan pengalaman peribadi menguruskan pusaka pelanggan, saya boleh katakan, ya perkara sebegini berlaku dalam masyarakat kita walaupun tidak dinafikan ada mertua yang tidak langsung menuntut hak mereka.

Sebagai contoh, beberapa bulan lepas saya menerima satu mesej daripada seorang balu yang mana ayah mertuanya yang menuntut hak terhadap pemilikan rumah anak lelakinya.

Jika tidak dituruti, maka ayah mertua inginkan pampasan yang setara dengan hak faraid yang dia patut dapat iaitu 1/6. Bila dikira-kira berdasarkan nilai semasa rumah tersebut, lebih 100 ribu ringgit juga yang perlu si balu berikan pada bapa mertuanya.

Dari mana nak dapatkan wang sebanyak itu?

Jika si suami ada tinggalkan pampasan takaful yang banyak boleh la bayar. Kalau tiada?

Ada kes yang akhirnya si balu terpaksa menjual rumah untuk membayar pampasan kepada waris-waris lain.

Banyak lagi kes-kes masalah yang melibatkan isu membeli rumah secara joint loan ini.

Jadi fikirlah masak-masak sebelum membuat keputusan untuk membuat pembelian rumah bersama pasangan.

Tapi bagaiamana kalau dah terbeli rumah bersama pasangan?

Pertama jaga hubungan dengan ahli keluarga mertua. Banyak kes yang terjadi perbalahan kerana tiada hubungan yang baik antara menantu dan keluarga mertua.

Walaubagaimanapun, ini tidaklah menjamin tidak berlaku perebutan harta.

Jadi solusi yang lebih terjamin adalah dengan membuat satu dokumen deklarasi hibah bersyarat (ruqba).

Dokumen hibah ini akan menyatakan hasrat untuk memberikan bahagian pemilikan kepada pasangan yang masih hidup.

Bahasa yang lebih mudah, jika suami meninggal, rumah tersebut menjadi milik isteri 100% dan begitu juga kalau isteri yang meninggal dunia, bahagian isteri menjadi hak suami yang masih hidup.

Kesimpulannya, pastikan kita merancang dengan teliti setiap aset dan harta yang kita miliki. Kepada siapa kita nak wariskan harta-harta kita, agar tidak berlaku perbalahan antara keluarga di kemudian hari.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.



Source link