Artikel Terkini

IPP susut pada suku kedua berikutan PKP, harga komoditi turun naik – MIDF Research



71589294311 MIDF - IPP susut pada suku kedua berikutan PKP, harga komoditi turun naik - MIDF Research

KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangka Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia susut pada suku kedua 2020 berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan harga komoditi yang turun naik.

Dalam nota penyelidikan pada Selasa, katanya sektor yang berorientasikan eksport akan terus rendah pada suku tahun ini berikutan kesan daripada kebimbangan mengenai COVID-19, impak perang harga minyak dan kitaran luar puncak untuk industri semikonduktor.

“Sekatan pergerakan di negara-negara utama akan menyebabkan permintaan rendah, sekali gus prestasi eksport Malaysia pada suku kedua,” menurut MIDF.

Jabatan Perangkaan Malaysia semalam melaporkan penurunan 4.9 peratus tahun ke tahun dalam IPP pada Mac 2020, penguncupan pertama sejak Disember 2015. Bagi suku pertama secara keseluruhan, IPP meningkat 0.4 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

“Bagi separuh kedua 2020, kami menjangka untuk menyaksikan peningkatan disokong oleh harga komoditi yang lebih baik, kesan daripada kebimbangan mengenai COVID-19 yang berkurangan dan permintaan global yang pulih secara berperingkat,” katanya.

Mengenai masa depan, firma penyelidikan itu berkata ia melihat jualan pembuatan akan terus mencatatkan pertumbuhan negatif terutamanya pada April, berikutan PKP sepenuhnya pada bulan tersebut.

“Kita dijangka menyaksikan peningkatan pada separuh kedua 2020 berikutan kebimbangan mengenai COVID-19 yang semakin berkurangan dan sentimen bertambah baik.

“Pengawalan di peringkat global turut memainkan peranan penting dalam pemulihan yang diharapkan. Berdasarkan perkembangan terkini, banyak negara mula mengurangkan sekatan mereka pada Mei, yang boleh menyumbang secara positif kepada pengeluaran,” katanya.

MIDF Research berkata ia mengunjurkan IPP merosot sebanyak 2.8 peratus untuk tahun penuh 2020 berikutan persekitaran domestik dan luaran yang mencabar.

“COVID-19 dan permintaan global yang lembap menjejaskan pengeluaran perindustrian dan eksport Malaysia manakala perang harga minyak menyebabkan purata harga minyak dunia merosot.

“(Unjuran) purata harga minyak mentah Brent kami pada tahun ini ialah US$41 setong.

“Bagaimanapun, kadar dasar semalaman yang rendah dan pakej rangsangan kerajaan yang termasuk moratorium pinjaman, bantuan kewangan tambahan kepada syarikat dan subsidi upah akan memberi sokongan kepada pengeluaran yang berterusan,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts