Artikel Terkini

Pengurusan Kewangan Semasa Kegawatan Ekonomi, Buat 7 Perkara Ini


Pada 23 April yang lepas, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020. Ini bermakna kita telah dan akan lalui PKP sehingga fasa keempat yang bermula sejak 18 Mac yang lalu. Perayaan Aidilfitri yang kebiasaannya disambut meriah mungkin disambut ala kadar dan setakat duduk di rumah sahaja.

Walaupun PKP ditamatkan, kita masih lagi perlu mengamalkan penjarakan sosial, had perjalanan, dan acara-acara besar tidak boleh diadakan. Ini tentunya memberi kesan kepada peniaga baju, bazar Ramadan, syarikat pelancongan, dan syarikat pengangkutan yang terjejas akibat permintaan pengguna yang lemah.

Akibat kerugian yang terpaksa ditanggung, mungkin ada syarikat yang terpaksa memberhentikan pekerja kesan daripada penularan wabak Covid-19 ini. Kemungkinan ramai yang akan hilang pekerjaan atau terpaksa bercuti tanpa gaji sehingga keadaan pulih.

Dalam menghadapi krisis ekonomi yang mencabar, berikut disenaraikan 7 tips yang boleh kita amalkan sebagai langkah menghadapi kegawatan ekonomi yang melanda.

1. Pendapatan Lebihan

Di sebalik dugaan yang melanda, mungkin terhidang peluang bagi kita menambah pendapatan. Jika kita pandai memasak, boleh gunakan peluang ini untuk berniaga.

Kerana Covid-19, pergerakan agak terhad dan orang ramai lebih suka memesan dari rumah. Boleh mulakan di kawasan kejiranan dahulu dengan menjual kek, kuih, atau apa-apa jenis juadah.

Sekarang ni dah canggih, kebanyakan kawasan kejiranan dah ada WhatsApp Group dan Facebook Page, boleh terus iklankan di sana.

2. Tunai Di Tangan

Dalam menghadapi kegawatan ekonomi, wang tunai adalah penting. Melalui Pakej Prihatin yang ditawarkan kerajaan, jelas kerajaan mahu rakyat Malaysia mempunyai tunai di tangan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang mensasarkan golongan B40 dan M40.

Selain daripada itu, kerajaan juga membuat inisiatif dengan pengeluaran i-Lestari KWSP, pengurangan potongan KWSP bagi syer pekerja daripada 11% kepada 7%, dan pemberian moratorium selama 6 bulan bagi pembiayaan bank.

Semua inisiatif ini dilakukan bagi membolehkan kita mempunyai lebihan tunai di tangan.

Berbelanjalah secara berhemah dan kepada yang perlu sahaja. Elak pembaziran dan buat simpanan.

Kita tak tahu nasib kita selepas ini, namun kita kena berdepan dengan kemungkinan dibuang kerja, terpaksa bercuti tanpa gaji, atau dipotong gaji.

3. Semak Rekod Takaful

Dalam menghadapi wabak Covid-19, ada sesetengah pengendali takaful yang menawarkan manfaat tambahan. Sebagai contoh, kita diberikan pampasan sebanyak RM10,000 jika disahkan positif Covid-19.

Semak dengan pengendali takaful atau ejen untuk kepastian. Jika ada manfaat tambahan, pampasan tersebut boleh digunakan dalam menghadapi krisis ekonomi atau digunakan sebagai simpanan.

4. Tabung Kecemasan

Dalam pengurusan kewangan peribadi, kita digalakkan mempunyai tabung kecemasan sebanyak 3-6 bulan gaji. Sebagai contoh, jika kita mempunyai gaji RM3,000 sebulan, pastikan tabung kecemasan kita ada sekurang-kurangnya RM9,000.

Jika masih tiada tabung kecemasan, gunakan peluang yang telah diberi kerajaan melalui BPN, i-Lestari, potongan syer pekerja KWSP, dan moratorium bank untuk mula menabung.

5. Jangan Buat Hutang Baru

Jika berhasrat untuk menukar kereta baru atau membuat pembiayaan peribadi bagi mengubahsuai rumah, tangguhkan dulu hasrat tersebut. Dalam kegawatan ekonomi, kita sepatutnya mengurangkan komitmen dan bukannya menambah komitmen.

Berfikir secara rasional dan elakkan pepatah ‘biar papa asal bergaya’. Raya nanti bukannya kita boleh buat ‘open house’ untuk ajak orang ramai tengok perabot baru dan langsir baru di rumah kita.

6. Sayangi Kerjaya

Bersyukurlah dengan apa yang ada. Jangan berhenti kerja walaupun kita dah menyampah dengan syarikat tempat kita bekerja. Ramai orang yang telah dibuang kerja, maka kita yang masih bekerja, jangan pula pergi berhenti kerja.

Melainkan kita memang mendapat tawaran yang lumayan dari syarikat lain atau sudah mempunyai perancangan lain. Jika saja-saja nak berhenti, tolong elakkan.

7. Banyakkan Bersedekah

Jika kita tidak terkesan dengan kegawatan ekonomi yang melanda, gaji tak kena potong dan pendapatan masih stabil serta tiada apa-apa hutang tertunggak; inilah peluang untuk buat saham akhirat. Ambil peluang ini untuk bersedekah kepada golongan yang terkesan.

Sebagai umat Islam, kita memang digalakkan bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Bayangkan sedekah yang dibuat dapat membantu sebuah keluarga untuk makan minum dan berbuka puasa.

Jika tidak boleh bersedekah macam biasa, gunakan medium elektronik. Kalau ada masa boleh tengok Bersamamu di TV3, ramai golongan susah yang memerlukan bantuan.

“Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafannya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya”. (Hadis Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad.)

Kesimpulannya, pengurusan kewangan peribadi semasa kegawatan ekonomi amat penting supaya kita boleh hidup menjalani dugaan yang hebat ini dengan penuh sabar.

Tips yang diberi hanyalah sebagai panduan sahaja, apa pun segalanya terletak kepada kemampuan diri sendiri. Semoga bermanfaat.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]



Source link