Uncategorized

Rakyat Malaysia makan kurang buah-buahan daripada yang disyorkan WHO



BUTTERWORTH: Satu kajian yang dijalankan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mendapati purata rakyat Malaysia mengambil buah-buahan kurang lapan kali daripada yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengerusi FAMA Ishak Ismail pada Jumaat berkata, kajian itu merumuskan seorang rakyat Malaysia, secara purata mengambil lima kilogram (kg) buah-buahan sebulan berbanding 40 kg yang disyorkan WHO.

“Perangkaan terkini yang dikeluarkan WHO tahun lepas menyatakan pengambilan buah-buahan di Malaysia hanya mencecah 63kg seorang setiap tahun berbanding 146kg seorang setahun di lain-lain negara maju,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Terdahulu, beliau menyertai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin melancarkan promosi pengambilan buah-buahan bersempena Festival Durian Pulau Pinang di tapak expo Seberang Jaya.

Menurut Ishak, Laporan Kesihatan Dunia 2003, WHO juga menyatakan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang rendah antara 10 faktor risiko tertinggi menyebabkan kematian.

Ishak berkata kempen tiga hari itu menyasarkan untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran kepentingan pengambilan buah-buahan dalam kalangan pelajar serta pengajar di sekolah dan kolej.

“Kami akan mendidik golongan belia menerusi pertandingan, sastera dan lawatan sambil belajar ke dusun buah-buahan bagi menunjukkan kepentingan buah-buahan dalam gaya hidup kita,” kata beliau.

Beliau berkata kempen serupa akan dianjurkan di Perak dari 25 hingga 27 Julai, selain Terengganu antara 5 hingga 7 Ogos.

–BERNAMA





Source link