Uncategorized

Siapa wanita pujaan Azmin Ali di Hari Wanita Sedunia?

Siapa wanita pujaan Azmin Ali di Hari Wanita Sedunia? 1


KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali menampilkan 3 tokoh wanita di kemaskini twitternya sempena Hari Wanita Sedunia.

Wanita ini adalah Raden Adjeng Kartini, Kasturba Gandhi dan Rosa Parks.

Siapakah mereka ini?

Raden Adjeng Kartini

Raden Adjeng Kartini adalah tokoh wanita Indonesia kelahiran Jepara yang memperjuangkan pembebasan dan pendidikan untuk wanita di Indonesia.

Selepas kematiannya pada usia 25 tahun, Kerajaan Belanda di Indonesia pada ketika itu menerbitkan surat-surat yang ditulis Kartini yang kemudiannya mengubah pandangan dan persepsi terhadap wanita Jawa.

Kartini turut menubuhkan sebuah sekolah di Pejabat Kabupaten Rembang yang kemudiannya menjadi model kepada beberapa sekolah untuk perempuan dengan nama Sekolah Kartini dibeberapa lokasi di Indonesia.

Raden Adjeng Kartini

Setiap 21 April, Indonesia menyambut Hari Kartini untuk mengenang jasa perjuangan Puteri dari Jepara ini yang berjuang dengan ‘kata-kata’ untuk meningkatkan taraf wanita Indonesia dan kemerdekaan Indonesia.

Kasturba Gandhi

Siapa tidak kenal dengan Mahatma Gandhi, tokoh perjuangan kemerdekaan India yang menginspirasi pelbagai gerakan hak asasi dan pembebasan di serata dunia.

Di sisinya adalah isterinya, Kasturba Gandhi.
Kasturba Gandhi

Fokusnya sekembali dari Afrika Selatan bersama Mahatma adalah untuk membantu wanita di kawasan Bihar meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka.

Kasturba turut mengambil bahagian dalam protes aman menentang pemerintahan British di Rajkot pada 1939, sebagai wakil kepada wanita di bandar itu.

Dia ditahan dan diletakkan dalam penjara yang diasingkan dan akhirnya meninggal dunia akibat kesihatan yang semakin buruk di Poona.

Sehingga kini, jasanya dan semangatnya diteruskan menerusi Kasturba Gandhi National Memorial Trust Fund yang ditubuhkan untuk membantu wanita dan kanak-kanak di kampung di India.

Rosa Parks

Seorang wanita yang penat, setelah seharian bekerja, enggan memberikan tempat duduknya di atas bas kepada penumpang kulit putih pada 1 Disember 1955.

Sikap ‘degilnya’ itu kemudian menjadi inspirasi kepada etnik kulit hitam yang sudah penat dan muak ditindas di pelbagai negeri di Amerika.

Rosa Parks

Namanya akan disebut-sebut sebagai antara yang paling awal menjadi simbol kepada penolakan penindasan entik kulit hitam dan pelbagai lagi isu berkaitan hak asasi manusia di Amerika.

Rosa Parks turut menganjurkan dan berkolaborasi bersama tokoh perjuangan hak asasi manusia termasuk Martin Luther King. Jr.

Jasa Parks tidak terhingga dengan pelbagai anugerah diberikan kepadanya atas usahanya untuk memperjuangkan nasib etnik kulit hitam.

Menurut Setiausaha Negara AS Condoleeza Rice, Parks membuka pelbagai peluang untuk wanita kulit hitam sepertinya untuk berjaya dalam hidup.

Parks meninggal dunia pada 2005 dan menjadi wanita pertama diberikan penghormatan terkakhir di Rotunda di bangunan Capitol.





Source link