Artikel Terkini

TH fokus enam aspek perkasa institusi termasuk tadbir urus



KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menumpukan enam fokus dengan keutamaan kepada kecekapan tadbir urus dan operasi bagi memperkasa institusi Islam itu ke arah lebih baik khususnya untuk prospek masa hadapan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata agenda utama TH itu turut melibatkan pemerkasaan pentadbiran deposit, pengurusan haji, sumber manusia dan pengukuhan anak syarikat.

Jelas beliau, institusi itu juga akan berteraskan konsep persekitaran, sosial dan tadbir urus, yang menjadi asas portfolio pelaburan kini serta bakal menyumbang kepada prestasi yang lebih baik.

“Kadang kala kita hanya melihat TH dalam konteks jangka masa pendek dan sebab itu kita nak terus kukuhkan TH supaya bila anak cucu kita berinteraksi dengan TH, mereka akan mendapat perkhidmatan dan nikmat yang sama.

“Untuk menuju ke arah itu, kita fokus menjadikan TH sebuah institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus disebabkan TH adalah institusi yang mentadbir tabungan mereka yang hendak mengerjakan haji, duit yang kita terima itu adalah berkaitan agama dan kita kena honour that responsibility dan hormati mandat itu,” katanya pada sidang media khas baru-baru ini.

Mengenai operasi haji, Nik Mohd Hasyudeen berkata TH sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan bagi memberikan keselesaan kepada jemaah mengerjakan ibadah, antaranya melakukan ‘post-mortem’ sebaik selesai setiap musim haji dan membolehkan institusi itu membuat perancangan awal untuk tahun akan datang.

Dari aspek sumber manusia, beliau berkata TH komited mengendalikan tadbir urus yang stabil dan mapan menerusi pelaburan sumber manusia seperti program ‘Profesional Mukmin’ yang memberikan latihan dan kursus bagi meningkatkan kecekapan dan profesionalisme kakitangan.

Selain itu, beliau berkata semua anak syarikat TH turut akan diselia dengan lebih terperinci bagi memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan ekonomi halal, selain memastikan manfaat daripada hasil tabungan dapat disebarkan kepada rakyat.

“Satu daripada pelaburan kita yang penting dipanggil pelaburan strategik khususnya anak syarikat seperti Bank Islam, syarikat takaful, TH Plantations, TH Travel dan apa yang kami tekankan untuk masa hadapan adalah memperkukuh anak syarikat.

“Contohnya, Bank Islam sekarang lebih giat membantu perniagaan kecil dan sederhana kerana sektor itu penting untuk perkembangan ekonomi negara dan prestasi syarikat takaful pun agak membanggakan dan untuk itu kita perlu perluaskan jejak dalam sektor takaful supaya peniaga yang berurusan dalam dan luar negara melindungi harta mereka,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts