Artikel Terkini

TM sokong pelaksanaan 5G di Langkawi



KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) memulakan sejumlah 11 ‘use case‘ (perisian) di Langkawi dan melaksanakan operasi Pusat Kawalan Operasi Bersepadu (IOCC) yang merupakan bahagian paling penting dalam pelaksanaan 5G di Langkawi.

TM berkata IOCC canggih itu, yang juga dikenali sebagai 5G Command Centre (5GCC), adalah pusat kawalan bersepadu di mana suapan data dan pemantauan papan pemuka rangkaian 5G TM dan use case di Langkawi dipusatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata syarikat itu menyokong sepenuhnya Projek Demonstrasi 5G (5GDP) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan ketika ini sedang menguji pelaksanaan rangkaian teras 5G bertumpu yang membolehkan kewujudan bersama Non-Stand Alone (NSA) (5G-diupayakan menerusi rangkaian 4G) dan rangkaian 5G khusus Stand Alone (SA) di Langkawi.

“SA adalah masa depan penggunaan rangkaian 5G dan demonstrasi ini penting bagi mempercepat pelaksanaan 5G di negara ini.

“Dengan pelaksanaan rangkaian SA di Langkawi bagi 5GDP, TM merupakan syarikat telekomunikasi pertama yang menggunakan rangkaian 5G khusus SA pertama di negara serta di rantau ini.

“Kami juga berbangga untuk memaklumkan bahawa ujian kelajuan 5G yang dijalankan di tapak use case 5G TM mencapai sehingga 1.5 Gbps.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa TM merupakan syarikat telekomunikasi pertama di rantau ini yang mengemas kini Rangkaian Akses Radio (RAN) dan peranti kami dengan rangkaian 5G khusus SA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Kamarul Anuar berkata bagi 5GDP di Langkawi, syarikat itu menggunakan bilangan use case 5G tertinggi dalam kalangan syarikat telekomunikasi yang menyertainya dan semua rangkaian 5G dan tapak use case boleh dipantau menerusi papan pemuka di 5GCC, yang dipantau oleh pakar dan pasukan teknikal berkelayakan.

“Ia juga dihubungkan ke pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan tindak balas kecemasan yang membolehkan masyarakat serta pelancong merasai pengalaman kehidupan yang selamat dengan teknologi canggih.

“Selain itu, kami membuka 5GCC bagi semua penyedia perkhidmatan lain bagi menggunakan papan pemuka pemantauan mereka agar semua data relevan boleh dipusatkan bagi pemahaman bersama,” katanya.

Ketika ini, 5GCC mengandungi papan pemuka bagi use case berikut: Lampu Isyarat Pintar; Parkir Pintar; Penyelesaian Keselamatan Pintar; Papan Pemuka Pelancongan Pintar Langkawi; dan Platform Gerbang Langkawi.

Disokong oleh analisis, Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan berasaskan data, 5GCC dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan canggih dan bersepadu untuk berfungsi sebagai pusat pemantauan keselamatan menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan popular di pulau pelancongan itu.

— BERNAMA





Source link

Related Posts